Amalan seseorang yang banyak adakalanya menjadi modal untuk
Iblis memperdayakan kita agar kita berbangga dan riak dengan kelebihan yang
Allah pinjamkan. Amal yang sedikit turut dipergunakan oleh Syaitan dengan
menimbulkan perasaan sentiasa berprasangka Allah akan mengampuni kekurangan
diri tanpa sekelumitpun rasa ingin menambahkan amalan untuk mendapatkan
keredhaan Allah.
Penyakit orang kaya adalah bakhil. Penyakit orang miskin
adalah malas. Penyakit orang berilmu adalah takabbur. Penyakit orang bodoh
adalah tiada keinginan. Penyakit orang beramal adalah ‘perasan’.
Orang yang banyak beramal merasakan dirinya hebat dan disegani.
Lalu apabila dia berjalan, dia tunduk semacam tawadhu’ walhal Syaitan dalam
jubahnya. Dia bercakap lembut agar dikata orang sebagai orang yang lembut hati
walhal dalam hatinya tersimpan suatu perasaan takabbur yang tinggi. Apabila dia
bercakap, dia merasakan semua orang memerhatikan kata-katanya. Syaitan telah
memperdayakan pandangan mata hatinya, lalu dia menganggap yang buruk itu baik
dan yang baik itu sebaliknya.
Orang yang banyak dosa pula sentiasa berharap dengan kalimah
Allah yang Maha Pengampun. Dia terlupa Allah juga keras seksaan-Nya. Allah
ciptakan neraka sebagaimana Allah turut menciptakan syurga. Neraka untuk orang
yang buruk perilakunya, dan juga untuk orang yang baik perilaku tetapi buruk
hatinya. Syurga pula untuk orang yang benar-benar bersih daripada sebarang
karat kekotoran, jika ada sekalipun, ia terlindung di sebalik rahmat Illahi.
Sesetengah orang berilmu apabila berbicara, maka penuh
mulutnya dengan pancaran ilmu yang mempesonakan, walhal hati mereka cemar
dengan pendustaan. Mulut mereka berkata benar sedangkan hati mereka
menidakkannya. Dia mengatakan cinta akhirat tetapi dia sendiri kelihatannya
sibuk mengejar dunia. Dia menyebut perihal zuhud sedangkan jiwanya diselimuti
perasaan cintakan dunia berlebihan.
Mungkin orang lain mendapat manfaat di sebalik ilmunya yang
melangit, tetapi dengar hanya sekadar dengar. Disimpan dalam otak tetapi tidak
di hati. Kepalanya makin membesar dengan ilmu yang sarat tetapi hatinya
dipenuhi kotoran pelbagai penipuan. Mereka pakar berbicara dalam pelbagai
bidang, aqidah mahupun akhlak, tasawuf juga barangkali tetapi hanya lidah
menuturkannya sedangkan hati menafikan. Katanya pejuang Islam tetapi lagaknya
berlainan.
Orang yang bersih hati pula, kata-kata mereka mungkin tidak
membawa mesej keilmuan yang tinggi, tetapi apabila mereka berbicara, ia
mengusik jiwa yang mendengar. Apabila dia menyebut soal dosa, yang mendengar
akan terbayangkan neraka. Apabila dia menyebut tentang perjuangan, orang akan
rindukan jihad. Apabila dia menyentuh soal ibadat, orang semakin rindukan waktu
malam untuk bertahajud. Mereka tidak perlu berbicara.
Kerana akhlak mereka sudah berbicara sebelum lidah mereka
bergerak. Apabila mereka ingin berucap, maka seluruh hati orang mula terusik
dan menanti-nantikan mutiara kata yang terbit daripada lidahnya. Sekali orang
mendengar, rindu akan bertapak dalam diri mereka. Alangkah mereka rindukan
kata-kata orang yang bersih jiwanya yang mana mungkin ilmunya tidak banyak
tetapi ia sangat memberi kesan.
Orang yang kotor sebaliknya. Berbuih mulutnya berbicara,
namun orang hanya endah tidak endah, dengar tidak dengar. Orang mungkin
rindukan pidatonya yang bersemangat, tetapi orang tidak rindukan mutiara kata
darinya. Sekadar mendengar menambahkan semangat dalam satu atau dua jam,
kemudian hilang berciciran di tengah jalan. Orang yang bersih hatinya, mungkin
pidatonya tidak menarik tetapi jiwa sentiasa dibuai dan terusik.
Iblis berkata:
“Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku
sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma’siat) di
muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba
Engkau yang mukhlis (orang-orang yang ikhlas beribadah kepada Allah) di antara mereka.”
( Al-Hijr:)